KUALA LUMPUR: Satu kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan bagi mengukur daya maju sistem rel di Borneo.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kajian itu bagi melihat impak daripada pelaksanaan pembangunan kereta api di Sabah dan Sarawak dari segi sosial dan ekonomi setempat.

"Kita di peringkat Kementerian Pengangkutan ada memohon peruntukan itu. Kita menerima permintaan dan cadangan daripada kerajaan Sarawak terutamanya menghubungkan pelaburan-pelaburan di persisiran pantai dan penempatan ibu kota baharu Indonesia di Kalimatan.

"Justeru kerajaan Sarawak mahu melihat sama ada ia membawa potensi pada masa depan untuk melaksanakan satu sistem rel di Borneo," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MSA International Symposium 2023 di sini, pada Selasa.

Loke memberitahu, buat masa ini cadangan itu masih di peringkat awal dan sebarang keputusan hanya akan dipertimbangkan selepas melihat kepada hasil kajian tersebut.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, namun kerajaan komited untuk terus melabur dalam projek-projek kereta api baharu serta mempromosikan pertumbuhan industri itu Malaysia, dengan tumpuan kepada bakat-bakat tempatan.

"Saya juga dimaklumkan gaji permulaan bagi graduan baharu sebagai jurutera kereta api adalah antara RM3,500 dan RM4,000, kadar yang kompetitif dalam pasaran pekerjaan semasa," ujarnya.